Wednesday 6 April 2011

.....InDaHnYa RaYa......

Setiap kaum mempunyai hari perayaan mereka yang tersendiri. Setiap perayaan disambut dengan penuh meriah dan gembira oleh semua penganut agama-agama yang tertentu kerana ia merupakan hari yang sangat ditunggu-tunggu oleh mereka. Pada hari yang bermakna inilah semua sanak saudara, kawan-kawan dan jiran tetangga dapat berkumpul bersama-sama untuk memeriahkan hari perayaan ini. Sanak saudara yang jauh akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya bersama-sama keluarga. Di hari ini jugalah mereka dapat bermaaf-maafan dan memohon keampunan jika melakukan kesalahan. Kebanyakan kaum menjadikan hari perayaan sebagai hari untuk melakukan aktiviti-aktiviti kekeluargaan bersama-sama kerana pada hari inilah mereka dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama mereka dan dapat mengenali dengan lebih dekat lagi.

Tuesday 5 April 2011

PeRAyAaN vAiSaKhi


        Perayaan ini disambut oleh masyarakat sikh. Perayaan ini dinamakan vaisakhi kerana masyarakat ini percaya bahawa vaisakhi ini dikatakan diasaskan oleh Guru Amar Das pada tahun 1567. Pada hari ini semua penganut sikh akan berkumpul untuk mendapat restu daripada guru-guru mereka.
        Hari vaisakhi ini disambut pada 13 April setiap tahun kerana ia dianggap sebagai hari lahir bagi undang-undang Khalsa ( suci) yang diamalkan oleh masyarakat ini. Pada hari ini juga mereka akan melawat Gudwara (kuil) dan mengadakan perarakan yang sangat meriah. Bendera suci 'Nishan Sahib' di Gudwara juga akan diganti dengan yang baru pada hari ini.
         Pada hari ini semua penganut akan ke kuil untuk bersembahyang. Ada sesetengah akan ke ruang makan  di kuil tersebut yang dipanggil 'langgar' untuk menghidangkan makanan kepada orang lain. Mereka mempercayai bahawa akan dirahmati Tuhan jika bertugas di dalam kuil pada hari tersebut kerana kuil merupakan rumah bagi Tuhan mereka. Sambutan bermula apabila penganut yang membawa bunga dan persembahan pergi ke kuil sebelum subuh.
        Upacara nyanyian dan tarian menjadi simbol penyatuan masyarakat sikh sehingga hari ini. Perarakan sekitar bandar juga menjadi satu kebiasaan kepada mereka kerana mereka percaya ini merupakan satu aktiviti bagi menunjukkan aktiviti kelahiran khalsa.

         


         

HaRi RaYa AiDiLaDhA


          Merupakan satu lagi perayaan bagi umat Islam yang disambut pada 10 haribulan Zulhijjah, iaitu 2 bulan selepas Syawal. Perayaan ini juga dikenali sebagai hari raya haji atau hari raya korban.
          Nama hari raya haji diambil sempena dengan ibadah haji yang dilakukan semasa bulan Zulkaedah dan Zulhijjah. Di tanah suci mekah, kedatangan aidiladha menandakan sempurnanya ibadah haji. Hari raya korban pula diambil sempena dengan peristiwa ibadah korban yang dilakukan oleh nabi Ibrahim terhadap anaknya nabi Ismail. Walaupun baginda berat untuk menyembelih anaknya tetapi demi taat dan patuh kepada perintah Allah, baginda tetap melaksanakannya. Inilah yang menjadi ikutan umat Islam pada masa kini.
          Setiap kali tibanya perayaan ini, umat Islam akan menunaikan solat sunat aidiladha pada pagi hari seperti hari raya aidilfitri. Setelah selesai solat  mereka akan melaksanakan ibadah korban. Disini lembu, kambing dan kerbau akan disembelih sebagai lambang tulus dan ikhlasnya hamba kepada Allah. Selepas binatang ternakan itu disembelih, daging akan dibahagi-bahagikan. Satu pertiga diberi kepada tuan punya, dan selebihnya diberi kepada fakir miskin, jiran-jiran dan semua orang Islam. Hikmah dari cara ini adalah ia mengeratkan silaturrahim dan membantu orang-orang yang kurang berkemampuan.
           Aidiladha juga disambut dengan tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka. Aidiladha juga adalah lambang keabdian hamba kepada Allah, dimana kita harus bersyukur atas nikmatNya dengan menyedekahkan sebahagian harta kepada mereka yang kurang bernasib baik.
        Juadah pada hari raya ini pula tiada jauh bezanya dengan aidilfitri. Ketupat, lemang, kuih-muih, rendang dan serunding turut dihidangkan sebagai santapan tambahan kepada sanak saudara dan jiran tetangga yang berkunjung ke rumah.

  
lembu adalah antara haiwan yang selalunya dijadikan korban

antara juadah yang dihidangkan semasa hari perayaan ini

hAri NaTaL


         Hari natal atau hari krismas adalah perayaan yang disambut oleh penganut agama kristian. Mereka akan menyambut perayaan ini pada setiap tanggal 25 Disember setiap tahun. Mereka menyambut hari tersebut sempena meraikan hari kelahiran Jesus. Perayaan ini berasal dari ajaran Gereja Kristian Roman Katolik. Oleh sebab itulah pada hari perayaan ini semua penganut ajaran kristian akan pergi ke gereja untuk menyambutnya.
        Di seluruh dunia, perayaan ini disambut dalam pelbagai bentuk untuk mencerminkan kepelbagaian budaya dan tradisi yang terdapat di sesebuah negara. Pada hari ini mereka akan mula menghias pokok krismas dengan pelbagai jenis lampu untuk memeriahkan lagi hari perayaan ini. Tradisi menghias pokok krismas ini berasal dari negara Jerman. Selalunya pokok malar hijau menjadi pilihan, khususnya pokok fir yang tidak gugur daunnya atau pudar warnanya. Pokok ini akan dibeli dari dusun atau ditebang dari hutan. Namun selalunya pokok buatan menjadi pilihan kerana ia mudah didapati di pasaran.
       Seperti perayaan kaum yang lain, pada hari perayaan inilah semua kaum keluarga akan berhimpun dan berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai. Mereka akan bertukar-tukar hadiah dan bersuka ria pada hari tersebut. Ada juga yang akan menyertai perarakan nyanyian karol dari rumah kerumah. Kebanyakan gereja juga mengamalkan upacara nyanyian karol yang dipersembahkan di dalam suasana nyalaan lilin. Kebanyakannya melibatkan nyanyian atau bacaan suci Bible oleh koir dan penganut yang taat.
        Menurut kepercayaan kaum mereka, pada malam perayaan ini santa claus akan menaiki kereta salju yang dipenuhi hadiah dan ditarik oleh rusa kutub. Santa claus akan terbang menembusi awan untuk menghantar hadiah kepada anak-anak di seluruh dunia. Untuk menyambut kedatangan santa mereka akan membaca sebuah puisi yang bertajuk The Night Before Christmas sebelum tidur. 
                    
pokok krismas yang telah siap dihias

santa claus yang disangkakan  wujud akan datang memberi hadiah kepada kanak-kanak