Monday 28 March 2011

HaRi gAwAi


Hari gawai merupakan hari perayaan bagi masyarakat  Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Hari Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun.
Pada hari pesta Gawai, pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai.  
       Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamirkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka. Pesta Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat dibuang.
       Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Kuih-muih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras, gula dan santan juga disediakan.
        Perayaan Gawai Dayak bermula dengan upacara membuang sial oleh Tuai Gawai. Tuai Gawai memulakan upacara ‘miring’ ini diruai (beranda) rumah panjang. Beliau berdoa supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Pada jam 12.00 malam upacara minum air pengayu dilakukan dengan harapan supaya panjang umur, sihat dan makmur. Pada pagi 1 hb Jun, tepat jam 7.00 pagi, tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke tiang pengingat iaitu sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang.
       Setelah upacara persembahan selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk kedalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak. Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.

 pakaian tradisional semasa pesta gawai

persembahan tarian turut memeriahkan lagi Hari Gawai

contoh perhiasan tradisional Orang Ulu

Saturday 26 March 2011

HaRi DeEpAvALi


Perayaan ini disambut oleh masyarakat Hindu.Dikenali oleh masyarakat Hindu sebagai pesta cahaya,Deepavali atau Diwali. Ianya dirayakan pada bulan gelap bernama ’aippasi’ pada bulan Oktober dan November. Deepavali bermaksud ‘sebarisan pelita’. Dengan memasang pelita, mereka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Oleh kerana namanya Pesta Cahaya, ia disambut dengan cahaya dan lampu oleh penganut Hindu.Asal usul perayaan ini adalah berkaitan dengan pertembungan antara Dewa Rama dengan Ravana, dimana kemenangan berpihak pada Dewa Rama, yang akhirnya berjaya merampas Sita dari Ravana yang jahat.Selain itu terdapat juga pelbagai cerita lain yang berkaitan dengan perayaan ini, seperti pergaduhan antara Dewa Krishna dengan Syaitan Asura yang dimenangi oleh pihak baik lantas dirayakan dengan pelita dan lampu-lampu.
         Bagi persiapan Deepavali, penganut Hindu akan membersihkan rumah mereka, hiasan seperti kolams dibuat, dan lampu ‘vilakku’ dipasang. Lampu ini adalah sejenis pelita tradisi yang diperbuat dari tanah liat.Perayaan juga bertambah seri dengan lampu-lampu moden. Penganut Hindu juga percaya yang Dewi Laksmi, iaitu dewa kekayaan dan kemakmuran akan datang melawat rumah pada masa ini.Jadi persiapan ini juga akan dibuat untuk menyambutnya.Di pagi hari, masyarakat Hindu akan menyucikan tubuh badan dengan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi.Kemudian mereka akam bersembahyang di rumah atau di kuil-kuil. Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga.Kebiasannya, surirumah akan menyediakan kotak-kotak kecil berisi manisan dan membawa bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka. Di kebanyakan rumah, ‘rangoli’ iaitu lukisan yang dibuat daripada tepung beras berwarna-warni akan menyambut tetamu di hadapan rumah.
       Selain dari itu, penganut Hindu juga membersihkan diri dan jiwa mereka, dengan mengamalkan puasa, hanya makan sayuran, dan bermeditasi.Di hari Deepavali ini, pertelingkahan akan dilupakan, manakala kemaafan akan mendapat penghargaan.

sari merupakan pakaian tradisional masyarakat india



‘rangoli’ akan menyambut tetamu di hadapan rumah

Hari Deepavali turut dikenali sebagai Hari Cahaya

tAhUn BaRu CiNa


Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, dimana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan.Mereka mencari ikhtiar unutk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam. Perayaan Tahun baru Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina.Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’ , ia menjadi symbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina.
           Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di seluruh negara yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalendar mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan khinzir. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri
           Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama.Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli keluarga yang telah berumahtangga akan memberi 'angpau' kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. 'Angpau' membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, ianya sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang. Buah limau mandarin dan kuih bakul merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina.
           Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Meh.
           Sambutan bagi Tahun Baru bermula sebulan sebelum itu. Orang ramai mula membeli belah, terutama baju baru, perhiasan rumah, dan hidangan wajib Tahun Baru seperti kuih bulan dan limau mandarin.Menjelang semakin hampir hari Tahun Baru, rumah-rumah akan dihias indah, bertemakan merah dengan tulisan kaligrafi Cina yang mendoakan kemakmuran dan kekayaan ditahun hadapan.
          Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan suasana, disamping ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan sesama penganut. Ia membawa maksud ‘ semoga tahun ini akan membawa kebaikan’.Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin. Ia bersamaan dengan memberi duit raya di kalangan umat Islam di masa hari Raya.
        Terdapat juga tradisi larangan dimasa Tahun Baru Cina ini.Adalah dipercayaai sepanjang 15 hari sambutan perayaan tidak dibenarkan sesiapa pun membuka perniagaan, atau ia akan ditimpa kerugian.Tidak dibenarkan juga menyapu sampah di rumah kerana ia akan menghalau keluar tuah dari ahli rumah.Tarian singa juga dipersembahkan, sebagai tanda memuliakan haiwan ini yang membantu menumpaskan rasaksa jahat.
         Dihari ketujuh sambutan Tahun Baru, yang juga dipercayai hari kelahiran manusia, masyarakat Kantonis akan menyediakan sejenis hidangan yang dinamakan ‘yee sang’. Ia kaya dengan herba dan menjadi simbol kehidupan, murah rezeki, dan panjang umur. Masyarakat Hokkien pula menyambut hari kelapan dengan bersembahyang kepada ‘Tian Gong’, iaitu Dewa Syurga.Manakala hari terakhir iaitu ke-15, mereka akan mengadakan perarakan Chinggay, terutama di Pulau Pinang.

yusheng atau yeesang yang merupakan makanan tradisi


cheongsam



kuih bulan adalah hidangan wajib pada tahun baru cina



Friday 25 March 2011

hAri RaYa AiDilFiTRi


Hari raya aidilfitri merupakan hari yang amat bermakna kepada seluruh umat islam setelah selesai menunaikan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Sepanjang bulan ini umat islam diwajibkan untuk berpuasa disiang hari dan mengerjakan solat terawih di malam hari. Hari raya ini disambut dengan meriah sekali oleh seluruh umat islam kerana pada hari ini jugalah mereka dapat menziarahi sanak-saudara untuk saling bermaaf-maafan. Ucapan ‘selamat hari raya ‘ bersilih ganti dan kemaafan dipohon, menandakan kesalahan lalu telah dilupakan. Tradisi memberi duit raya merupakan amalan yang masih diamalkan hingga kini dan dapat memeriahkan lagi hari raya tersebut. Juadah utama yang akan dicari di hari raya ini ialah ketupat,serunding, lemang dan rendang yang mana ia merupakan makanan tradisi bagi masyarakat melayu. Pelbagai jenis kuih-muih juga boleh didapati pada hari ini.


ketupat yang merupakan hidangan utama di hari raya

pelbagai jenis kuih-muih yang terdapat di hari raya

lemang dan rendang yang juga merupakan juadah istimewa di hari raya

RiAnG rIA RaYa....

Hari perayaan merupakan hari yang amat ditunggu-tunggu oleh semua kaum di malaysia. Tidak kira melayu, cina ataupun india, mereka amat gembira apabila dapat menyambutnya pada tiap-tiap tahun. Setiap kaum mempunyai perayaan yang tersendiri contohnya bagi masyarakat melayu, mereka akan menyambut hari raya aidil fitri,masyarakat cina akan menyambut tahun baru cina manakala masyarakat india pula akan menyambut hari deepavali. Kesemua perayaan ini merupakan hari kebesaran dan bersejarah bagi semua kaum yang menyambutnya pada hari ini.